hari ini dalam sejarah : PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON

PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON(sumber)

tarikh peristiwa : 18.1.1956

Detik kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, sebenarnya telah melalui proses yang penting sebelum ianya ditandatangani.  Beberapa siri rundingan telah diadakan sejak 1955 dan 1956 lagi.  Pada hari ini 18 Januari 1956, satu daripada rundingan ke arah kemerdekaan yang dikenali juga sebagai Persidangan Malaya Merdeka di London telah diadakan.  Pada hari inilah, bermulanya persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil Kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London, untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang telah dibincangkan ialah:-

1.   Malaya akan merdeka dalam lingkungan Commonwealth British.

2.   Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanana dan hal ehwal luar negeri akan dikuasai oleh Menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu.

3.   Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.

Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin.  Sementara wakil-wakil dari Raja-Raja Melayu pula terdiri dari Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 Ogos, 1957.

Hasil carian :

(Visited 91 times, 5,376,658)

Hari ini dalam sejarah : 4 Januari 1959 – RADIO MALAYA BERPINDAH DARI SINGAPURA

RADIO MALAYA BERPINDAH DARI SINGAPURA(sumber)
Tarikh Peristiwa : 04.01.1959

radio malaya

Pada hari ini dalam tahun 1959, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah melancarkan perkhidmatan siaran terus Radio Malaya dari stesennya di Rumah Persekutuan Kuala Lumpur. Dengan itu bermulalah siaran berasingan Radio Malaya, yang telah ditubuhkan sejak 1946, dan beroperasi di Singapura. Pada masa yang sama  stesen di Singapura dikenali dengan Radio Singapura. Dalam ucapannya, Tun Abdul Razak berkata, perpindahan itu perlu kerana kerajaan sedar tentang pentingnya perkhidmatan Malaya diperluaskan. Langkah tersebut juga adalah sejajar dengan rancangan masa hadapan perkhidmatan radio, yang telah siap diatur. Antaranya ialah untuk membuka dua buah stesen baru iaitu di Pulau Pinang dan Melaka. Manakala bagi pendengar di Pantai Timur pula, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, usaha sedang dibuat dengan kerjasama Jabatan Telekom bagi mendirikan alat pemancar gelombang sederhana di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Di peringkat permulaan, siaran berita masih terus disiarkan dari stesen di Singapura. Begitu juga dengan siaran ke sekolah-sekolah. Tun Abdul Razak mencadangkan supaya diadakan siaran berita daerah, khusus melaporkan peristiwa yang berlaku di sekitar semenanjung. Berpindahnya stesen penyiaran Radio Malaya dari Singapura, pada hari ini dalam tahun 1959, jelas mencatatkan sejarah baru dalan era perkembangan Radio Malaysia.

Hasil carian :

(Visited 145 times, 5,376,658)