Hari ini dalam sejarah – 30 Disember 1957

Tarikh peristiwa : 30.12.1957(sumber)

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  telah  berlangsung  Kongres  Kebudayaan  Melayu  yang  pertama  bertempat di  sekolah  Tinggi,  Melaka  dan  dirasmikan  oleh  Timbalan  Perdana  Menteri,  Tun  Abdul  Razak  bin  Hussein. Kongres  tersebut  merupakan  anjuran  Jawatankuasa  Kongres  Kebudayaan,  Tanah  Melayu  dan  telah  dihadiri oleh  51  buah  Badan  Kebudayaan dan  Persatuan  Melayu  dari  seluruh  Tanah  Melayu, Singapura  dan Kalimantan  Utara.  Dalam  ucapan  perasmiannya, Tun Abdul  Razak menegaskan  bahawa  kerajaan  sentiasa memberi  perhatian  dalam  usaha  menubuhkan  kebudayaan  nasional.  Antara  rumusan  penting  kongres  yang telah  berlangsung  selama  tiga  hari  ini  ialah  penetapan  bahawa  Kebudayaan  Melayu  yang  tidak bertentangan dengan  agama  Islam  adalah  menjadi  kebudayaan  kebangsaan  Tanah  Melayu.  Manakala sebarang  unsur  kebudayaan  asing  yang  tidak  bertentangan  dengan  agama  Islam  bagi  mengisi kekosongan  atau  memajukan  kebudayaan  Melayu  hendaklah  diterima,  bahkan  dicari,  dimasukkan  dan disebatikan  dalam  Kebudayaan  Melayu.   Berikutan itu,  kongres  ini  juga  telah  membentuk  sebuah  Dewan Kebudayaan  Kebangsaan  dengan  Encik  Aminuddin  Baki  telah  dilantik  sebagai  Pengerusinya.

(Visited 63 times, 5,369,204)

Hari ini dalam sejarah – 29 Disember 1966

Tarikh peristiwa : 29.12.1966(sumber)

 

Para pendidik di negara ini memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan generasi akan datang. Peranan para pendidik untuk melahirkan generasi sudah terbukti sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Pada hari ini, 29.12.1966, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah merasmikan Kongres Guru-Guru Se Malaysia bertempat di Kuala Lumpur. Tujuan utama diadakan Kongres ini untuk membincangkan peranan pendidik dalam melaksanakan dasar-dasar pendidikan dan mengambil inisiatif membentuk masyarakat yang bersatu. Berucap semasa perasmian Tun berkata, harapan kerajaan memperkukuhkan hubungan saling mengerti dan berbaik-baik antara rakyat berbilang bangsa untuk membantu bangsa yang bersatu dan di sini peranan sekolah dan para pendidik cukup penting sekali.  Katanya lagi di bawah satu dasar pelajaran kebangsaan kanak-kanak dari semua kaum belajar mata pelajaran sama di bawah satu bumbung. Dengan itu dapatlah melahirkan generasi yang bersatu padu dan cintakan bangsa dan negara.

(Visited 62 times, 5,369,204)