Mengaku dirinya rasul

KUALA LUMPUR: Mengaku dirinya rasul, mampu mengampunkan dosa pengikut, tsunami berlaku atas kuasanya dan menafikan kewajiban menunaikan solat serta puasa antara fahaman sesat yang kini didakwa disebarkan seorang selebriti terkenal tanah air.

Selebriti terbabit bukan saja menyebarkan fahaman yang ternyata melanggar hukum syarak, tetapi lebih mengejutkan apabila dia mengakui dirinya mampu memberikan syafaat kepada pengikutnya pada hari akhirat kelak.

Sumber yang juga bekas pengikutnya, hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 30, berkata, penyebaran dakyah menyimpang itu mula dilakukan selebriti terbabit lebih dua tahun lalu selepas mendakwa dirinya mendapat wahyu dan petunjuk daripada Allah.

“Dia juga memberitahu di akhirat kelak, dia bakal ditempatkan di barisan hadapan apabila semua manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar,” katanya kepada Harian Metro.

 selebriti-mengaku-rasul

Selebriti lelaki yang terkenal dengan perwatakan warak itu sebelum ini jarang menimbulkan kontroversi sepanjang membabitkan diri dalam industri seni, justeru pendedahan dilakukan beberapa pengikutnya amat mengejutkan.

Hasil carian :

Hari ini dalam sejarah : 31 Disember 1958 – JOHOR DIISYTIHARKAN SEBAGAI ‘KAWASAN PUTIH’

Tarikh peristiwa : 31.12.1958(sumber)

askar lama

Pada hari ini dalam tahun 1958, seluruh negeri Johor telah diisytiharkan sebagai ‘Kawasan Putih’. Pengisytiharan ini telah dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, yang mewakili Sultan Johor di satu upacara perbarisan pasukan-pasukan keselamatan di Johor Bharu. ‘Kawasan Hitam’ yang terakhir di negeri Johor yang diisytiharkan sebagai kawasan putih ialah Daerah Kota Tinggi. Pasukan-pasukan keselamatan yang mengambil bahagian diperbarisan ialah pasukan polis, homeguard, pasukan gurkah dan juga pasukan Angkatan Laut Diraja Malaya. Pada masa darurat diisytiharkan, terdapat lebih 1200 orang pengganas komunis mengancam keselamatan di beberapa daerah di Johor. Satu operasi yang dipanggil ‘Operasi Badak’ telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan. Operasi ini telah berjaya menghapuskan sebahagian besar pengganas komunis. Ramai daripada mereka telah keluar menyerah diri terutama di kawasan Johor Utara dan tengah. Penyerahan diri yang besar telah berlaku berikutan dengan penyerahan diri seorang pemimpin kanan pengganas persekutuan Tanah Melayu iaitu Hor Long di Segamat. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Operasi Badak, Ungku Mohsin bin Mohamad telah mengalu-alukan pengisytiharan Johor sebagai kawasan putih bersih daripada ancaman dan keganasan pengganas komunis. Beliau menganggap pengisytiharan tersebut sebagai berita yang menggembirakan menjelang tahun baru. Ianya juga memberi makna yang besar kepada negeri Johor yang telah mengalami keadaan darurat yang begitu panjang dan menerima ancaman yang buruk sekali di Persekutuan Tanah Melayu. Dengan pengisytiharan ini, Undang-Undang Darurat seperti sekatan-sekatan keatas bahan-bahan makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung dihapuskan. Sebelum Johor diisytiharkan ‘Kawasan Putih’ beberapa kawasan dan negeri di Persekutuan Tanah Melayu telahpun diisytiharkan sebagai ‘Kawasan Putih’ seperti Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabak Bernam.

Hasil carian :

Hari ini dalam sejarah – 30 Disember 1963

Pada hari ini 30.12.1963, Menteri Pelajaran Kapten Abdul Hamid Khan mengumumkan rancangan-rancangan baru bagi Kementerian Pelajaran.

Rancangan-rancangan itu bertujuan untuk memaju dan meninggikan taraf pelajaran di seluruh Malaysia. Di antara rancangan-rancangan yang diumumkan ialah:-

1.     Akan memulakan sebuah Maktab Perguruan di Johor bagi menggantikan Maktab Brinsford Lodge di United Kingdom. Langkah itu diambil berikutan dengan penutupan maktab tersebut yang selama ini menampung keperluan pelajar-pelajar Malaysia dalam latihan perguruan.

2.     Menubuhkan sebuah bilik gerakan Bahasa Kebangsaan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tindakan itu adalah untuk menentukan sejauh manakah Bahasa Kebangsaan digunakan dalam urusan rasmi semua jabatan kerajaan dan juga orang awam. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan Bahasa Kebangsaan di negara ini.

3.     Kementerian juga merancang untuk mendirikan sekolah ‘Lanjutan Kampung’ untuk semua murid di tiap-tiap negeri. Untuk pertama kalinya empat buah sekolah seumpama itu akan dibuka pada permulaan tahun 1964.

Sesungguhnya rancangan-rancangan yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran pada hari ini dalam tahun 1963, ini adalah selaras dengan usaha memajukan perkembangan pelajaran di negara ini.

Hari ini dalam sejarah – 30 Disember 1957

Tarikh peristiwa : 30.12.1957(sumber)

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  telah  berlangsung  Kongres  Kebudayaan  Melayu  yang  pertama  bertempat di  sekolah  Tinggi,  Melaka  dan  dirasmikan  oleh  Timbalan  Perdana  Menteri,  Tun  Abdul  Razak  bin  Hussein. Kongres  tersebut  merupakan  anjuran  Jawatankuasa  Kongres  Kebudayaan,  Tanah  Melayu  dan  telah  dihadiri oleh  51  buah  Badan  Kebudayaan dan  Persatuan  Melayu  dari  seluruh  Tanah  Melayu, Singapura  dan Kalimantan  Utara.  Dalam  ucapan  perasmiannya, Tun Abdul  Razak menegaskan  bahawa  kerajaan  sentiasa memberi  perhatian  dalam  usaha  menubuhkan  kebudayaan  nasional.  Antara  rumusan  penting  kongres  yang telah  berlangsung  selama  tiga  hari  ini  ialah  penetapan  bahawa  Kebudayaan  Melayu  yang  tidak bertentangan dengan  agama  Islam  adalah  menjadi  kebudayaan  kebangsaan  Tanah  Melayu.  Manakala sebarang  unsur  kebudayaan  asing  yang  tidak  bertentangan  dengan  agama  Islam  bagi  mengisi kekosongan  atau  memajukan  kebudayaan  Melayu  hendaklah  diterima,  bahkan  dicari,  dimasukkan  dan disebatikan  dalam  Kebudayaan  Melayu.   Berikutan itu,  kongres  ini  juga  telah  membentuk  sebuah  Dewan Kebudayaan  Kebangsaan  dengan  Encik  Aminuddin  Baki  telah  dilantik  sebagai  Pengerusinya.