Hari ini dalam sejarah : 4 Januari 1963 – KEMANGKATAN SULTAN YUSOF IZZUDIN SHAH, PERAK

Tarikh peristiwa : 4.1.1963(sumber)

Pada hari ini dalam tahun 1963, Sultan Perak, Raja Yusof Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah mangkat. Baginda yang berumur 72 tahun telah gering untuk beberapa bulan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan. Raja Yusof Izzudin dilahirkan pada 15 Januari 1890 dan baginda ialah salah seorang daripada dua orang putera Sultan Abdul Jalil. Baginda menerima pendidikan di Sekolah Melayu, Hogan School dan Maktab Melayu, Kuala Kangsar. Selepas itu baginda telah bekerja di beberapa buah jabatan negeri seperti Jabatan Tanah, Jabatan Daerah dan Mahkamah. Di samping itu juga baginda menjadi Raja Bendahara pada tahun 1921, Ahli Dewan Negara Perak pada tahun 1921 dan Raja Muda pada 1938. Raja Yusof Izzudin telah dilantik menjadi Sultan Perak pada 31 Mac 1948, berikutan dengan kemangkatan ayahanda saudaranya, Sultan Abdul Aziz. Baginda telah ditabalkan pada 15 April 1948. Berbeza dengan negeri-negeri Melayu yang lain, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, memaktubkan bahawa Sultan mesti dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara, Perak. Peruntukan lain menambah bahawa sultan kelapan belas, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Shah atau Sultan yang pertama, Sultan Muzaffar Shah. Sejurus selepas kemangkatan Sultan Yusof Izzudin pada hari ini dalam tahun 1963, Dewan Negara Perak telah bersidang dan melantik Raja Muda, Raja Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, sebagai Sultan negeri Perak.

Hasil carian :

(Visited 97 times, 4,591,268)