Hari ini dalam sejarah : 1 Januari 1974 – PERASMIAN PENANAMAN CERUCUK ASAS PROJEK PUSAT BANDARAYA PULAU PINANG

Tarikh peristiwa : 1.1.1974(sumber)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak telah merasmikan upacara Penanaman Cerucuk Asas Projek Pusat Perbadanan Bandaraya Pulau Pinang ataupun KOMTAR (Kompleks Tun Abdul Razak) di Pulau Pinang.  Projek KOMTAR ini dicipta di bawah rancangan ‘Kawasan Pembangunan Menyeluruh’ sebagai sebuah projek untuk memperbaharui semula Bandaraya Georgetown.  Projek ini merupakan satu projek yang terbesar, menyeluruh dan bercantum.  Ini direka bentuk untuk menampung kehendak-kehendak di bidang sivik, pentadbiran dan perdagangan di Bandaraya Georgetown. Projek KOMTAR ini terletak di kawasan seluas 27.1 ekar (10.94 hektar).  Ia dibahagikan kepada beberapa peringkat untuk dimajukan bagi pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang.  Projek ini dilaksanakan secara erperingkat-peringkat.  Ini adalah untuk menjaminkannya dilaksanakan secara licin serta mengurangkan masalah kepada penduduk yang terlibat dalam projek ini. Projek KOMTAR ini menyediakan kemudahan-kemudahan untuk membeli-belah, pejabat-pejabat, pusat penjaja, panggung wayang, tempat pertukaran bas, pejabat pos, balai bomba, pusat perdagangan, tempat meletak kereta bertingkat, kawasan khas untuk orang berjalan kaki, dewan serbaguna dan juga sebuah hotel antarabangsa.  Apabila siap, bangunan KOMTAR ini diharap dapat mengubah wajah bandaraya Pulau Pinang dari kesan penjajah.  Ia diharap dapat mencerminkan keperibadian Malaysia dan mencerminkan penduduk negara yang berbilang bangsa.  Projek ini menunjukkan sikap pandangan jauh kerajaan negeri untuk melakukan pembaharuan yang boleh dibanggakan bukan sahaja oleh negeri Pulau Pinang bahkan oleh negara.  Dengan perasmian Penanaman Cerucuk Asas Projek Pusat Bandaraya Pulau Pinang yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak pada hari ini dalam tahun 1974, wujudlah sebuah lagi mercu tanda yang baru bagi negeri Pulau Pinang.

Hasil carian :

(Visited 449 times, 4,591,269)