Hari ini dalam sejarah – 30 Disember 1963

Pada hari ini 30.12.1963, Menteri Pelajaran Kapten Abdul Hamid Khan mengumumkan rancangan-rancangan baru bagi Kementerian Pelajaran.

Rancangan-rancangan itu bertujuan untuk memaju dan meninggikan taraf pelajaran di seluruh Malaysia. Di antara rancangan-rancangan yang diumumkan ialah:-

1.     Akan memulakan sebuah Maktab Perguruan di Johor bagi menggantikan Maktab Brinsford Lodge di United Kingdom. Langkah itu diambil berikutan dengan penutupan maktab tersebut yang selama ini menampung keperluan pelajar-pelajar Malaysia dalam latihan perguruan.

2.     Menubuhkan sebuah bilik gerakan Bahasa Kebangsaan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tindakan itu adalah untuk menentukan sejauh manakah Bahasa Kebangsaan digunakan dalam urusan rasmi semua jabatan kerajaan dan juga orang awam. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan Bahasa Kebangsaan di negara ini.

3.     Kementerian juga merancang untuk mendirikan sekolah ‘Lanjutan Kampung’ untuk semua murid di tiap-tiap negeri. Untuk pertama kalinya empat buah sekolah seumpama itu akan dibuka pada permulaan tahun 1964.

Sesungguhnya rancangan-rancangan yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran pada hari ini dalam tahun 1963, ini adalah selaras dengan usaha memajukan perkembangan pelajaran di negara ini.

(Visited 29 times, 4,600,176)