hari ini dalam sejarah : PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON

PERSIDANGAN MALAYA MERDEKA DI LONDON(sumber)

tarikh peristiwa : 18.1.1956

Detik kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, sebenarnya telah melalui proses yang penting sebelum ianya ditandatangani.  Beberapa siri rundingan telah diadakan sejak 1955 dan 1956 lagi.  Pada hari ini 18 Januari 1956, satu daripada rundingan ke arah kemerdekaan yang dikenali juga sebagai Persidangan Malaya Merdeka di London telah diadakan.  Pada hari inilah, bermulanya persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil Kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London, untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang telah dibincangkan ialah:-

1.   Malaya akan merdeka dalam lingkungan Commonwealth British.

2.   Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanana dan hal ehwal luar negeri akan dikuasai oleh Menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu.

3.   Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.

Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin.  Sementara wakil-wakil dari Raja-Raja Melayu pula terdiri dari Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang gemilang pada 31 Ogos, 1957.

Hasil carian :

(Visited 48 times, 4,600,289)