Hari ini dalam sejarah – 28 Disember 1978

Tarikh peristiwa : 28.12.1978 (sumber)

Perkembangan di bidang penyiaran pesat berkembang di negara ini, salah satu daripada alat perantara penyiaran di negara ini ialah Televisyen. Di bawah Kementerian Penerangan usaha-usaha telah dijalankan bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat di negara ini. Salah satu perkembangan yang pesat pada bidang ini ialah pelancaran TV Warna. Majlis Pelancaran TV Warna ini dilancarkan sempena genap 15 tahun usia siaran TV di Malaysia pada 28 Disember 1978. Rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna ialah program Puspawarna yang disiarkan secara langsung. Berucap semasa merasmikan Pelancaran TV Warna di Auditorium Besar Angkasapuri, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn berharap pihak TV dapat memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat, terperinci serta jelas dan bertanggungjawab terutamanya untuk mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Dalam masyarakat moden hari ini penyiaran terutama TV cukup penting sekali sebagai penyampai maklumat, apatah lagi yang berbentuk siaran langsung kepada rakyat. Hari ini dengan adanya stesen TV swasta limpahan maklumat semakin berkembang kepada rakyat dan ini boleh menjayakan usaha-usaha kerajaan membentuk masyarakat yang bermaklumat.

Hasil carian :

(Visited 36 times, 4,595,034)

Hari ini dalam sejarah – 28 Disember 1970

Pada hari ini 28.12.1970,(sumber)

 

satu konvensyen empat hari Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Bebas Antarabangsa (IFFTU) telah berlangsung di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Konvensyen itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu En. Hussain Onn. Kira-kira 100 orang perwakilan dari Australia, Brunei, Sri Lanka, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Singapura, Vietnam Selatan, Taiwan, Thailand dan tuan rumah Malaysia telah menyertai konvensyen tersebut. Manakala United Kingdom, Belgium, Kanada dan Amerika Syarikat hanya menghantar pemerhati sahaja dalam konvensyen ini. Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pelajaran Malaysia menjelaskan bahawa Malaysia sedang menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negara bagi membasmi kemiskinan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Untuk itu katanya pelajaran akan memainkan peranan utama dalam menjayakan hasrat kerajaan itu. Beliau juga menjelaskan negara ini telah memberi peruntukan yang besar dalam usaha memajukan bidang pelajaran. Keperluan sekolah-sekolah, maktab-maktab dan universiti akan ditambah bagi menyediakan kemudahan pelajaran kepada rakyat di negara ini. Ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk memajukan rakyat negara ini menerusi taraf pelajaran yang baik. Dengan berlangsungnya konvensyen pada hari ini dalam tahun 1970, banyak perkara yang menyentuh kepentingan bersama dalam bidang pelajaran telah dibincangkan untuk manfaat bersama negara-negara yang menyertai konvensyen ini.

 

Hasil carian :

(Visited 27 times, 4,595,034)