Hari ini dalam sejarah – 28 Disember 1970

Pada hari ini 28.12.1970,(sumber)

 

satu konvensyen empat hari Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Bebas Antarabangsa (IFFTU) telah berlangsung di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Konvensyen itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu En. Hussain Onn. Kira-kira 100 orang perwakilan dari Australia, Brunei, Sri Lanka, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Singapura, Vietnam Selatan, Taiwan, Thailand dan tuan rumah Malaysia telah menyertai konvensyen tersebut. Manakala United Kingdom, Belgium, Kanada dan Amerika Syarikat hanya menghantar pemerhati sahaja dalam konvensyen ini. Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pelajaran Malaysia menjelaskan bahawa Malaysia sedang menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan negara bagi membasmi kemiskinan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Untuk itu katanya pelajaran akan memainkan peranan utama dalam menjayakan hasrat kerajaan itu. Beliau juga menjelaskan negara ini telah memberi peruntukan yang besar dalam usaha memajukan bidang pelajaran. Keperluan sekolah-sekolah, maktab-maktab dan universiti akan ditambah bagi menyediakan kemudahan pelajaran kepada rakyat di negara ini. Ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk memajukan rakyat negara ini menerusi taraf pelajaran yang baik. Dengan berlangsungnya konvensyen pada hari ini dalam tahun 1970, banyak perkara yang menyentuh kepentingan bersama dalam bidang pelajaran telah dibincangkan untuk manfaat bersama negara-negara yang menyertai konvensyen ini.

 

Hasil carian :

(Visited 23 times, 4,591,163)