Hari ini dalam sejarah : 1 Januari 1979 – PELANCARAN ETIKA PERKHIDMATAN AWAM

Tarikh peristiwa: 01-01-1979  (sumber)

Pada hari ini dalam tahun 1979, Etika Perkhidmatan Awam telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah bin Ayub. Etika Perkhidmatan Awam merupakan satu daya usaha kerajaan untuk menimbulkan kesedaran kepada kakitangan perkhidmatan awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang jujur, cekap dan berkesan. Etika ini diharapkan dapat dijadikan panduan kepada kakitangan awam dalam menjalankan kerja dan tugas perkhidmatan awam. Tan Sri Abdullah bin Ayub seterusnya menerangkan tujuh teras bagi seseorang kakitangan perkhidmatan awam mencapai perkhidmatan cemerlang iaitu:-

  1. Berazam meninggikan mutu perkhidmatan
  2. Bekerja dengan penuh tanggungjawab
  3. Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
  4. Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan
  5. Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
  6. Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara
  7. Berpegang teguh kepada ajaran agama.

Sesungguhnya dengan pelancaran Etika Perkhidmatan Awam pada hari ini dalam tahun 1979, diharapkan semua golongan kakitangan kerajaan bekerja dengan lebih tekun, jujur, cekap dan berkesan. Sempena itu juga moto perkhidmatan awam “Berkhidmat Untuk Negara” diperkenalkan.  

Hasil carian :

(Visited 42 times, 4,595,401)

Hari ini dalam sejarah : 1 Januari 1948 – ORDINAN CUKAI PENDAPATAN DIKUATKUASAKAN

Tarik peristiwa : 1.1.1948(sumber)

Pada hari ini dalam tahun 1948,  Ordinan Cukai Pendapatan 1947, telah dikuatkuasakan.  Ordinan ini menggariskan ketetapan mengenai kadar bayaran cukai yang merangkumi hasil-hasil pendapatan persendirian, syarikat dan sebagainya.  Ia juga menetapkan antara lain, peraturan berhubung dengan taksiran, kadar tertentu bagi peralatan jentera dan kilang dan cara pungutan cukai pendapatan melalui potongan gaji.  Berdasarkan hubungan ekonomi yang erat antara Tanah Melayu dengan Singapura adalah didapati perlu supaya cukai pendapatan dibuat berasaskan ’Pan Malayan’.  Maka dengan ini, pembayar cukai yang tinggal dalam Persekutuan atau Singapura, tetapi memperolehi hasil pendapatan dari kedua-dua Wilayah, dibenarkan menyatukan kedua-dua pendapatan itu, ditaksirkan sebagai satu.  Pada bulan Julai 1948 beberapa pindaan telah dibuat kepada Ordinan ini mengikut saranan yang diberikan oleh Jawatankuasa Bersama Cukai Pendapatan.  Mereka yang terlibat dalam perlombongan dan tanaman, diberi peruntukan bagi perbelanjaan pemulihan.  Manakala bagi orang perseorangan pula cukai yang kena bayar adalah dikira dari pendapatan yang telah ditaksirkan, setelah ditolak elaun-elaun persendirian, elaun anak-anak dan sebagainya.  Dengan ini, tempoh taksiran bagi Ordinan Cukai Pendapatan 1947 adalah dikira bermula dari tarikh Ordinan ini dikuatkuasakan iaitu pada 1 Januari 1948.

Hasil carian :

(Visited 40 times, 4,595,401)